04 April 2009

RENUNG-RENUNGKAN....




Mula-mula, kita berpantun dahulu.



Buah cempedak di luar pagar,


Ambil galah tolong jolokkan,


Saya budak baru belajar,


Kalau salah tolong tunjukkan....



Pantun ini ialah sebuah pantun Melayu klasik. Saya percaya semua pernah mendengar dan mengungkapkannya.



Sebagaimana lazimnya pantun-pantun Melayu, ia membawa maksud dan tunjuk ajar yang cukup baik dan indah, dengan cara yang ringkas dan padat.



“Saya budak baru belajar”


menggambarkan sifat Melayu kita yang berbudi bahasa dan beradab. Ini adalah sifat yang mulia yang perlu kita berpegang teguh kepadanya.



Namun, apa yang lebih penting di sini adalah ayat keempat iaitu:



“Kalau salah tolong tunjukkan”
Ayat ini membawa maksud yang amat penting sekali.
Ia mengajar kita supaya sentiasa belajar dan mempunyai sifat ingin tahu. Bukan itu sahaja. Malah ia mengajak kita supaya, dalam kita hendak belajar itu, janganlah sesekali takut untuk membuat kesilapan. Jauh sekali berkecil hati sekiranya ditegur.



Bak kata orang putih, “it’s okay to make mistakes”. Ia bukanlah suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.



Apa yang "tidak okay” adalah sekiranya kita tidak belajar dari kesilapan yang lepas. Dan, yang keduanya, jikalau kita tidak berani untuk mengaku kesilapan yang kita lakukan - malah merajuk atau berkecil hati pula bila ditegur.



Kesimpulannya: Janganlah takut untuk membuat kesilapan dalam kita hendak belajar. Sentiasa bersikap optimistik. Sentiasa berfikiran terbuka kepada teguran. Beranikan diri untuk bersoal, dan beranikan diri juga untuk disoal orang lain.



Itulah cara terbaik untuk belajar. Sekian dahulu ya.



sumber ; http://seri-kepayang.blogspot.com/2009_02_01_archive.html#7794342616774194396

Tiada ulasan:

Catat Ulasan