04 April 2009

TEKNIK MEMBACA BERKESAN

Teknik Membaca PQRST
Sistem PQRST adalah suatu teknik membaca yang diperkenalkan oleh Thomas, Ellen Lamar; Robinson, H. Alan dalam buku mereka yang bertajuk "Improving Reading In Every Class". Berikut adalah 5 langkah yang menjadi tunjang Teknik Membaca PQRST ini :

(a) Preview (Tinjau)
TINJAU tajuk-tajuk utama pada keseluruhan buku atau bab tertentu dengan memberi perhatian kepada tajuk-tajuk besar dan kecil padanya. Tujuan utama proses meninjau ini adalah untuk anda mendapatkan gambaran keseluruhan tentang isi-isi penting pada buku atau bab-bab dalam buku itu. Dengan mendapat gambaran segera tentang kandungan buku itu, fikiran anda akan lebih tertumpu kepada isu-isu utama yang dibincang atau diutarakan pada buku tersebut.

(b) Question (Soal)
SOAL diri anda dengan menjadikan tajuk besar dan kecil dalam bab itu sebagai soalannya. Misalnya, tajuk bagi seksyen ini ialah Meningkatkan Mutu Pembacaan. Jadi, bentuk soalan yang boleh anda buat ialahBagaimana saya dapat meningkatkan mutu pembacaan saya?Dengan adanya soalan itu semasa anda membaca, tumpuan fikiran anda akan lebih fokus kepada mencari jawapan atau jawapan-jawapan tentang soalan yang tertumpu pada fikiran anda pada ketika anda membaca.

(c) Read (Baca)
Sambil MEMBACA bahan bacaan anda, tumpukan perhatian untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang anda telah timbulkan itu. Dengan berbuat demikian, anda akan dapat membantu proses pemahaman serta pengingatan anda terhadap idea-idea utama bahan yang dibaca.

(d) Self-Recitation (Mengimbas Kendiri)
MENGIMBAS KENDIRI ialah suatu proses di mana anda mencuba ingat faktafakta utama bab atau bahan yang anda telah baca. Tujuan utamanya ialah untuk mengingat semula apa yang anda telah baca iaitu dengan menggabungkan semua proses (b), (c), dan (d) secara serentak.

(e) Test (Uji)
UJI diri anda setelah anda habis membaca keseluruhan bab. Fikirkan berapa banyakkah idea-idea daripada bab yang baru anda baca itu dapat anda ingati. Pada peringkat inilah anda harus mula menyimpan apa yang telah anda pelajari ke dalam ingatan jangka panjang anda.

TITIAN MEMBACA

’Baca dalam hati’, iaitu mulut tidak menyebut setiap perkataan yang dibaca.

Tumpuan mata pula digerakkan dari satu kumpulan perkataan kepada kumpulan perkataan yang lain, bukannya tumpuan kepada setiap perkataan.


jangan membaca secara mengulang ke belakang, teruskan membaca walaupun peringkat permulaan anda tidak faham apa yang anda baca.

tumpukan perhatian supaya anda dapat memahami maksud ayat-ayat yang anda baca itu.


tanamkan perasaan ingin mengetahui isi kandungan pelajaran itu dan usahakan supaya dapat mengingati fakta-fakta penting yang terdapat dalam perenggan itu.

TITIAN MENTELAAH

M= mulakan membaca atau mentelaah dengan menyebut nama allah, fikirkan matlamat membaca dan bersikap positif terhadap apa yang dibaca.

E=elakkan gangguan dalam diri dan faktor luaran semasa membaca atau mentelaah.

M=meneliti semua istilah, kata kunci dan gambarajah yang ada dalam buku teks atau bahan bacaan sains tersebut.

B=bacalah dengan cepat.

A=aktifkanlah diri daripada segi minda dan fizikal semasa dan selepas mentelaah.

C=carilah idea, konsep atau prinsip sains yang hendak disampaikan oleh penulis buku atau artikel yang dibaca itu.

A=analisakan dan aturkan idea, konsep dan prinsip yang diperoleh dalam bentuk yang tersusun atau mengikut urutan supaya mudah diingati dan diterangkan kembali.

SIAPA KATA RAKYAT MALAYSIA TIDAK MEMBACA?



KUALA LUMPUR 25 Jun - Berdasarkan kajian Dewan Industri Buku Melayu Malaysia pada tahun lalu, rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM1 bilion setahun untuk membeli buku.
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, secara puratanya setiap keluarga di negara ini membelanjakan RM50 setahun untuk membeli buku.
“Walaupun jumlahnya agak kecil namun amalan pembelian buku dilihat semakin meningkat di negara ini sejak 2005.
“Justeru, buku yang bermutu tinggi perlu diperbanyakkan dan pasaran buku dengan harga berpatutan perlu diwujudkan untuk menggalakkan lebih banyak keluarga memperuntukkan pendapatan bulanan membeli buku.
“Selain kerajaan, pihak swasta juga perlu berusaha menggalakkan budaya membaca,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini. - Utusan.

RENUNG-RENUNGKAN....




Mula-mula, kita berpantun dahulu.



Buah cempedak di luar pagar,


Ambil galah tolong jolokkan,


Saya budak baru belajar,


Kalau salah tolong tunjukkan....



Pantun ini ialah sebuah pantun Melayu klasik. Saya percaya semua pernah mendengar dan mengungkapkannya.



Sebagaimana lazimnya pantun-pantun Melayu, ia membawa maksud dan tunjuk ajar yang cukup baik dan indah, dengan cara yang ringkas dan padat.



“Saya budak baru belajar”


menggambarkan sifat Melayu kita yang berbudi bahasa dan beradab. Ini adalah sifat yang mulia yang perlu kita berpegang teguh kepadanya.



Namun, apa yang lebih penting di sini adalah ayat keempat iaitu:



“Kalau salah tolong tunjukkan”
Ayat ini membawa maksud yang amat penting sekali.
Ia mengajar kita supaya sentiasa belajar dan mempunyai sifat ingin tahu. Bukan itu sahaja. Malah ia mengajak kita supaya, dalam kita hendak belajar itu, janganlah sesekali takut untuk membuat kesilapan. Jauh sekali berkecil hati sekiranya ditegur.



Bak kata orang putih, “it’s okay to make mistakes”. Ia bukanlah suatu dosa yang tidak boleh dimaafkan.



Apa yang "tidak okay” adalah sekiranya kita tidak belajar dari kesilapan yang lepas. Dan, yang keduanya, jikalau kita tidak berani untuk mengaku kesilapan yang kita lakukan - malah merajuk atau berkecil hati pula bila ditegur.



Kesimpulannya: Janganlah takut untuk membuat kesilapan dalam kita hendak belajar. Sentiasa bersikap optimistik. Sentiasa berfikiran terbuka kepada teguran. Beranikan diri untuk bersoal, dan beranikan diri juga untuk disoal orang lain.



Itulah cara terbaik untuk belajar. Sekian dahulu ya.



sumber ; http://seri-kepayang.blogspot.com/2009_02_01_archive.html#7794342616774194396